SABAR ITU INDAH

|

Hati ini girang kerana Alhamdulillah sudah selamat sampai ke bumi negeri Sembilan. Walaupun hati ini berdebar menunggu saat tiba ekoran kemalangan di lebuhraya yang dasyat berlaku di depan mata,tapi ku gagahkan jua kerana percaya ajal dan maut itu hanyalah di atas ketentuan Allah.

Setibanya di terminal 1,perut ini seolah-olah meminta untuk diisi. Lantas aku dan adikku menuju ke restoren kopitiam lalu memesan makanan dan minuman seperti pelanggan yang lain. Ketika menunggu makanan yang dipesan sampai,mata ini tertarik melihat kelibat seorang ibu dan anak masuk ke dalam restoren itu mencari tempat duduk yang selesa. Wajah ibu nampak seolah-olah cina muslim kerana hijab yang cantik dipakainya. Anak lelakinya pula persis muka orang cina kerana mata yang sepet dan kulit yang berwarna putih kuning. Tapi itu hanyalah jangkaan saja, mungkin benar dan mungkin tidak.

Kemudian aku tolehkan mataku kepada jam tangan yang sentiasa di tanganku. “ hmm, dah 15minit, kenapa lambat sangat mee ni nak sampai”, aku mengomel. Tidak lama selepas itu,mee kantonis pun sampai. Pandanganku kembali kepada anak beranak tadi. Wajah mereka memang mampu membuatkan hati seorang insan menjadi sayu, kelihatan mereka dari golongan orang yang biasa sahaja. Tiada raut marah pada muka mereka apabila melihat makanan yang dipesan lambat sampai. Terasa keinsafan mengimbas sikap ku yang tidak mampu bertahan dengan ujian kelaparan sebentar tadi. Malahan aku pula berasa marah kerana pelanggan yang lambat sampai berbanding mereka mendapat makanan terlebih dahulu. Bukan setakat dua orang pelanggan,malah lihat lebih dari itu.Lantas hati ini cepat sahaja melontarkan ketidak puashatian. “ Eh, apahal ni,bukan diorang lagi awal ker?”. Dalam hati aku mempersoalkan adakah kerana mereka kelihatan seperti itu,orang di restoren ini dengan senangnya mempraktikkan ketidakadilan.

Anak kecil itu menoleh kekiri melihat nasi yang dibawa oleh waitress itu menuju ke meja makan orang lain.Mukanya nampak mengharap dan aksi itu dilakukan beberapa kali hingga akhirnya sampai juga makanan yang dipesan. Girangnya muka si anak dan ucapan terima kasih keluar dari mulut anak itu. Garfu dan sudu dipegangnya dan dia pun makan sambil si ibu melakarkan senyuman melihat gelagat anak yang dikasihinya. Tanpa kusedari airmata ini mengalir. Wah, sungguh hebat mereka ini, tetap sabar walaupun diperlakukan begitu. Jika diri ini berada ditempat mereka, mungkin ada kata-kata yang kurang enak diucapkan. Terasa diri ini sangat lemah dan kalah dengan seorang anak kecil yang masih mentah mengenali erti hidup ini.

Jelas menunjukkan bahawa ada kalanya manusia menghakimi manusia dengan wajah, harta dan pangkat tetapi tidak bagi Allah. Sesungguhnya semua manusia itu adalah sama disisi Allah, Cuma yang membezakannya adalah taqwa mereka. SUBHANALLAH. Sungguh cantik sifat Allah itu. Memang manusia itu sifatnya lemah dan hina oleh sebab itulah kadangkala kita tidak mampu menjadi begitu adil. Sesungguhnya Allah sahajalah yang Maha Adil perhitunganNya. Wallahualam.

0 comments:

Post a Comment